Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Thursday, July 1, 2010

Gabungan guru sekolah sokong UPSR dihapus

Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM) menyokong Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dihapuskan, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zakarshi.

Beliau berkata GMGBM berpendapat ada baiknya peperiksaan awam diadakan sekali sahaja kerana dari segi nilai hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang boleh diguna untuk mendapatkan pekerjaan dan memohon kemasukan ke universiti.

“Kalau UPSR dan PMR (Penilaian Menengah Rendah) ini sijilnya tiada nilai selepas daripada itu. Sebab itu GMGBM setuju UPSR diganti dengan penilaian sekolah atau ‘school based assessment’,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan diploma dan sijil pada konvokesyen Kolej Teknologi Yayasan Pendidikan Cheras YPC-ITWEB kali ke-6 di sini kelmarin.

Puad berkata kerajaan akan memperluaskan Sijil Kemahiran Malaysia iaitu tidak terhad untuk pelajar lepasan SPM sahaja, sebaliknya ia akan diberi kepada mereka yang telah bekerja berdasarkan pengalaman mereka bekerja tanpa perlu mengikuti pengajian.

“Mereka yang sudah bekerja, katalah dia bekerja di bengkel membaiki kereta dan motor…jadi pengalaman dia selama lima tahun boleh dinilai sama ada dia layak diberikan Sijil Kemahiran Malaysia walaupun dia tidak mengikuti kursus macam pelajar biasa yang masuk kuliah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata pemberian sijil ini akan dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia.

Pada konvokesyen itu, 161 graduan menerima diploma perniagaan dan teknologi maklumat dan 46 graduan menerima sijil kursus asasi perniagaan dan teknologi maklumat. -NST

Sumber-Sabahdaily.net

Friday, April 30, 2010

Guru perlu efektif, sentiasa fikir pendekatan baru

Guru perlu efektif dan sentiasa memikirkan pendekatan baru bagi menyesuaikan amalan mereka kepada perkembangan dunia pendidikan, kata Pengarah Pelajaran Sabah Dr. Haji Muhiddin Yussin.

Beliau berkata, peranan guru sebagai sumber utama penyebar pengetahuan dan kemahiran kepada para pelajar bukan sekadar ‘penyampai pengetahuan’ tetapi sebagai ‘pemudah cara pengetahuan’.

“Bagi mewujudkan sistem pendidikan yang releven dan dinamik, guru perlu memainkan peranan sebagai pendidik yang menghayati aspek profesionalisme keguruan.

“Antara usaha yang boleh menjadikan profesion perguruan disanjung tinggi adalah melalui kajian tindakan seperti yang dijalankan oleh sekumpulan guru di SMK Bandaraya ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2009 dan Pelancaran Buku Koleksi Kajian Tindakan SMK Bandaraya, di sekolah itu, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengetua SMK Bandaraya Dr. Shirley Tay Siew Hong, guru-guru dan para pelajar.

Muhiddin berkata, penggunaan kaedah kajian tindakan merupakan suatu pendekatan untuk memperbaiki mutu pendidikan, melalui perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran yang mana ini boleh menjadi satu platform bagi guru menjana kecemerlangan dalam kalangan pelajar.

“Kajian tindakan merupakan penyelidikan yang dijalankan oleh guru ke atas suasana sebenar di sekolah. Menerusi kajian ini, guru dapat merancang dan mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan pencapian objektif.

“Selain itu mereka dapat memahami, membentuk jalinan kerja yang aktif dan efektif serta mengubah dan memperbaiki amalan diri sendiri dan para pelajar untuk menuju kecemerlangan,” katanya.

Katanya lagi bagi melahirkan generasi berkualiti dan meningkatkan lagi kecemerlangan pendidikan, ibu bapa dan masyarakat juga harus memainkan peranan penting.

“Ibu bapa dan anak-anak merupakan satu gabungan jiwa bagi melahirkan modal insan berkualiti dan produktif bagi menjamin kesejahteraan dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global.

“Oleh itu saya berharap para pelajar dapat menghayati dan menimba sebanyak mungkin ilmu daripada guru-guru bagi memantapkan minda dan pengetahuan untuk membawa negara mencapai wawasan 2020,” katanya.

Muhiddin berkata, dalam mengharungi dunia yang penuh cabaran, para pelajar perlu disemai dengan keteguhan jiwa dan kekuatan iman.

“Program kerohanian seperti penerapan nilai-nilai murni dan pembentukan sahsiah yang dijalankan secara berterusan oleh pihak sekolah sangat membantu bagi membentuk jati diri pelajar yang berdikari, berketrampilan, matang dan bertanggungjawab,” katanya.

Antara pelajar yang menerima anugerah Pelajar Cemerlang pada majlis itu ialah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Norzellah Asim, Morsidy Nasir dan Kasmini Badin.

Manakala pelajar cemerlang SPM pula ialah Yusuf Kamal dan Nurul Amni Isnirur, pelajar cemerlang PMR Siti Nurhidaya Abdul Ghalib, Nuraliah Alias, Nur Athen Mohd.Hardy Abdullah dan Suriana Sunarto. - Sumber: Sabahdaily.net & NST